NASIONAL

DUKE tawar diskaun tol 50 peratus

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 13 JUN: Konsortium Lebuh Raya Utara-Timur (KL) Sdn Bhd (KESTURI) selaku pemegang konsesi bagi lebuh raya Duta-Ulu Klang (DUKE) menawarkan diskaun tol sebanyak 50 peratus khusus kepada pengguna lebuh raya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pengarah Urusan KESTURI, Tan Sri Datuk Seri Lim Keng Cheng berkata, langkah itu sejajar dengan pemberian potongan tol sebanyak 50 peratus di semua lebuh raya selama dua hari yang diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Menerusi penawaran diskaun ini, pihak kami yakin pengguna setia Lebuh Raya DUKE pastinya gembira menikmati nilai pulangan berganda.

“Pemberian diskaun tol pada musim perayaan sudah menjadi rutin kebiasaan kami di DUKE sejak lebuh raya ini dibuka tahun 2009.

“Diskaun tol itu ditawarkan bagi menyahut seruan kerajaan dalam membantu mengurangkan perbelanjaan pengguna jalan raya sepanjang musim perayaan ini,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, diskaun selama 48 jam yang diberikan kepada pengguna lebuh raya DUKE akan berkuat kuasa bermula hari ini sehingga khamis, 14 Jun ini.

Lim berkata, penawaran kadar tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 40 peratus berbanding 10 peratus tahun lalu selain melibatkan semua kelas kenderaan dan tidak tertumpu untuk pengguna kelas satu (ETC) sahaja seperti tahun sebelumnya.

=EZY=

 


Pengarang :