SELANGOR

DYTM Raja Muda sampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri

OLEH SHEEDA FATHIL

BANGI, 2 JUN: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri sejumlah RM135,900 kepada 1,359 anak yatim bagi daerah Hulu Langat.

Majlis penyampaian itu disempurnakan oleh baginda di Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi, di sini, hari ini.

Sumbangan sejumlah RM76,000 diperuntukkan oleh Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), manakala RM59,900 pula hasil sumbangan Selgate Corporation (SELGATE) untuk disalurkan kepada anak yatim di daerah Hulu Langat.

Hasil sumbangan itu, anak yatim menerima RM100 setiap seorang bagi membantu menghadapi persiapan Hari Raya Aidilfitri.

Hadir mengiringi baginda, Exco Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif YIDE, Nur Mohd Razali Abdullah.

Turut mengiringi baginda, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Ramal, Mazwan Johar dan Ketua Pegawai Eksekutif SELGATE, Noor Hisham Mohd Ghouth.

Sementara itu, Nur Mohd Razali berkata, YIDE menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak SELGATE kerana meluluskan peruntukan itu.

“YIDE berharap SELGATE akan terus membantu anak-anak yatim ini untuk tahun yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata daerah Hulu Langat merupakan daerah ketiga disalurkan sumbangan selepas Kuala Selangor dan Klang, manakala yang akan datang adalah di Hulu Selangor.

Terdahulu, YIDE memperuntukkan sebanyak RM849,200 untuk disalurkan kepada 8,492 anak yatim di seluruh Selangor yang berdaftar dengan YIDE.

Manakala, RM23,200 untuk dua buah rumah anak yatim di bawah seliaan YIDE turut diagihkan.

=EZY=

 


Pengarang :