BERITA UTAMAEKONOMISELANGOR

e-dagang Selangor catat jualan RM 4.8 juta pada 2017

NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 28 JUN: Lebih 300 syarikat yang menjalankan perniagaan e-dagang, di Selangor berjaya mencatatkan jualan RM4.8 juta, pada 2017.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan, Industri Kecil & Sederhana (IKS) dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, nilai jualan itu direkodkan menerusi 33,000 tempahan pembelian dalam talian sepanjang tahun terbabit.

“Perkembangan pesat komuniti e-dagang yang semakin jelas, pada 2016 mendorong kami untuk memberi ganjaran dan mengenali peniaga dalam talian terbabit yang merupakan pelayar di lapangan serta mewujudkan nilai juga semangat yang benar-benar membolehkan e-Dagang berkembang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Pelancaran Pertandingan Peniaga e-dagang (ECM) Terbaik di Selangor Digital Creative Centre, i-City, di sini, hari ini.

Chang Khim berkata, Selangor Information Technology & E-Commerce Council (SITEC) sebelum ini turut memberi latihan kepada peniaga e-dagang melalui Akademi SITEC.

Katanya, sejak SITEC ditubuhkan pada 2015, seramai 4,000 peniaga e-dagang menyertai latihan yang disediakan.

“Akademi SITEC turut menyediakan lebih 200 sumber pembelajaran e-dagang seperti video dan persembahan slaid secara percuma untuk pihak yang berminat mengetahui lebih lanjut berkenaannya,” katanya.

Terdahulu, Chang Khim melancarkan Pertandingan Peniaga e-dagang (ECM) Terbaik 2018 dengan pemenang akan diumumkan, pada 15 September ini menjelang Selangor Smart City & Digital Economy Convention 2018, di MITEC.

Pertandingan itu menyediakan hadiah wang tunai RM10,000 bagi pemenang pertama, RM5,000 (kedua) dan RM3,000 (ketiga).


Pengarang :