SELANGOR

Exco optimis jadikan kacau dodol acara tahunan

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 9 JUN : Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu serta Warisan, Dato’ Abdul Rashid Asari optimis mahu jadikan program mengacau dodol sebagai acara tahunan di Selangor.

Abdul Rashid berkata, ia bertujuan bagi mengangkat kembali juadah warisan tradisi nenek moyang itu supaya ia tidak terus lenyap ditelan arus pemodenan.

“Program kacau dodol ini bukan sahaja kebudayaan tetapi ia juga merupakan warisan yang harus dipertahankan oleh anak muda, tidak kira lelaki atau perempuan.

“Saya optimis mahu jadikan acara sebegini dalam kalendar tahunan Selangor sekali gus dapat memartabatkannya supaya diangkat ke peringkat lebih tinggi,” katanya selepas merasmikan Pertandingan Kacau Dodol Pemuda Pakatan Harapan (PAKATAN) peringkat Parlimen Kapar 2018, semalam.

Selain itu, beliau turut memuji inisiatif dilaksanakan anak muda terutamanya Pemuda PAKATAN dalam menarik masyarakat tanpa kira kaum dan agama untuk bersama menyertai pertandingan berkenaan.

“Saya dimaklumkan empat hari lepas untuk memberi kata putus kepada Pemuda PAKATAN bahawa mereka mahu mengadakan pertandingan kacau dodol, namun tanpa disangka-sangka dengan masa yang agak singkat pertandingan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Malah, paling mengejutkan apabila acara kacau dodol yang sering dipelopori kaum Melayu turut mendapat sokongan daripada kaum Cina dan India untuk bersama menyertainya,” katanya.

Terdahulu, pertandingan kacau dodol itu turut dihadiri Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa, Dr Daroyah Alwi.

Pertandingan bermula jam 10 malam itu berakhir pada 3 pagi dengan disertai 100 peserta membabitkan 20 pasukan yang terdiri dari penduduk kampung pelbagai bangsa di sekitar Parlimen Kapar.

Juara pertandingan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM500 serta hamper; tempat kedua RM300 dan hamper; tempat ketiga juga keempat masing-masing membawa pulang RM150 beserta hamper manakala tempat kelima hingga kesepuluh menerima hamper sebagai saguhati.


Pengarang :