SELANGOR

Exco rai 373 ketua kampung, beri insentif Aildilfitri

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 11 JUN : Peranan ketua kampung terus mendapat pengiktirafan di peringkat pentadbiran negeri menerusi pemberian bonus Aildifitri sebulan gaji kepada golongan itu.

Penghargaan itu disampaikan Exco Pemberdayaan Generasi Muda & Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa Dan Kampung Tradisi, Amirudin Shari kepada lebih 373 ketua kampung pada Majlis Berbuka Puasa bersama Ketua-Ketua Kampung Seluruh Negeri, semalam.

Bertempat di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar, majlis dihadiri Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (Makro dan Penswastaan), Nor Azlina Abdul Aziz.

Insentif kewangan itu diberikan susulan pengumuman Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang mengumumkan pemberian bantuan khas kepada penjawat awam di bawah peruntukan berjumlah RM31.2 juta.

Amirudin berkata, insentif kewangan itu diberikan selepas mengambil kira keperluan dan sumbangan berterusan ketua kampung yang memberi khidmat bakti terbaik dalam mengukuhkan lagi agenda kemasyarakatan negeri.

“Di kesempatan ini, Kerajaan Negeri menzahirkan ucapan terima kasih atas khidmat bakti yang diberikan semua ketua kampung dalam menjalankan tugas,” katanya ketika berucap pada program itu.

Pada masa sama, Amirudin yang baru memegang standco pembangunan kampung tradisi negeri mendedahkan, beberapa pembaharuan akan dilaksanakan sepanjang tempoh ini.

Katanya, ia termasuklah pengukuhan agenda Pelan Tindakan Khas Desa yang akan dijalankan oleh PLANMalaysia Selangor bagi Kajian Penstrukturan Semula Kampung Dalam Bandar yang akan melibatkan 27 buah kampung dari 591 kampung seluruh Selangor.


Pengarang :