SELANGOR

Exco: Rapat jurang pendapatan, rangka program komprehensif

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 JUN: Jurang antara kelas menengah dan bawahan perlu dirapatkan, sekali gus membolehkan Kerajaan Negeri merangka program yang lebih komprehensif bagi meningkatkan ekonomi rakyat Selangor.

Exco Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata, hal itu kerana perbezaan jurang akan menyebabkan golongan sederhana tidak dapat menikmati faedah dilaksanakan menerusi Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

“Kita tidak boleh gunakan kaum sebagai pendekatan mengklasifikasikan jurang kekayaan.

“Ada India yang kaya dan ada yang miskin sama juga dengan Melayu dan Cina ada juga yang terlalu kaya dan miskin.

“Bagi saya jurang antara kelas menengah dan bawahan perlu dirapatkan dan ia boleh dilaksanakan dengan meningkatkan pendapatan mereka dalam masa sama mengurangkan kos kehidupan,” katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian di Facebook, semalam.

Pada masa sama, beliau berkata dengan peluang pekerjaan yang ditawarkan Kerajaan Negeri menyebabkan penghijrahan besar rakyat negeri lain ke Selangor.

“Di bawah portfolio usahawan dan pembangunan luar bandar, terdapat bantuan bina kios perniagaan malah Program Hijrah menawarkan pinjaman tanpa faedah membantu ribuan peniaga di luar sana selama ini.

“Kalau bab peluang pekerjaan, jika ada yang kata tiada peluang pekerjaan mengapa orang begitu ramai dari pelosok negeri berhijrah ke Selangor,” katanya.

 


Pengarang :