SELANGOR

Exco ziarah keluarga Nor Syazrina Damia

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 29 JUN: Exco Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau menziarahi jenazah Nor Syazrina Damia Mohd Nazrul Rafizi, yang meninggal dunia selepas dilanggar lori sampah dalam satu kemalangan, semalam.

Perkara itu dimaklumkan menerusi laman Facebook miliknya, pagi ini.

“Pagi ini menziarahi jenazah arwah adik Nor Syazrina Damia Mohd Nazrul Rafizi yang meninggal dunia petang semalam. Salam takziah,” katanya.

Nor Syazrina Damia, pelajar Sekolah Rendah Seksyen 27 (1) meninggal dunia selepas dirempuh lori sampah berkenaan ketika melintas jalan.

Lori sampah berkenaan tertera logo Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan pemandu yang dipercayai warga asing didakwa melarikan diri.

Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA dalam kenyataan semalam memaklumkan sedang mengenal pasti sama ada lori kompaktor terbabit kepunyaan syarikat yang menjalankan kerja kutipan sampah di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan berkenaan.

MBSA juga menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu.

“Jika didapati lori kompaktor itu kepunyaan syarikat yang dipertanggungjawabkan untuk menyelaraskan kerja kutipan sampah, MBSA akan mendapatkan maklumat lanjut dari syarikat berkenaan berhubung operasinya dari segi laluan kutipan sampah dan petugas.

“MBSA tidak akan berkompromi jika terbukti syarikat ini melanggar syarat ditetapkan semasa melakukan kerja kutipan sampah di kawasan berkenaan,” katanya.


Pengarang :