NASIONAL

FELDA sambut baik hadiah hari raya

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 JUN: Persatuan Anak Peneroka Felda (ANAK), menyambut baik inisiatif Kerajaan Pakatan Harapan Putrajaya memberikan bantuan insentif kewangan kepada 112,635 warga peneroka felda.

Presidennya, Mazlan Aliman menyifatkan ia sebagai langkah terbaik Kerajaan dalam membantu meringankan beban golongan itu, ketika perayaan Aidilfitri semakin hampir.

“Air mata ini bercucuran apabila dimaklumkan, mesyuarat kabinet sebentar tadi mengumumkan pemberian duit raya kepada seluruh 112,635 orang peneroka Felda dengan peruntukan RM50 juta.

“Pengumuman (Perdana Menteri), Tun Dr Mahathir ini, membuktikan keprihatinan Kerajaan PH meskipun menghadapi kekangan kewangan.

“Jumlah RM450 setiap peneroka adalah ‘hadiah’ hari raya untuk seluruh peneroka Felda.

“Ia pasti melegakan para peneroka,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan peruntukan sebanyak RM50 juta disalurkan bagi tujuan pemberian insentif Syawal kepada peneroka seluruh negara.

Portal Malaysia Dateline melaporkan, setiap peneroka bakal menerima bantuan kewangan sebanyak RM450.00 bagi setiap keluarga.

Untuk rekod, ini merupakan pengumuman bantuan kali pertama dibuat Kerajaan baru selepas pentadbiran Putrajaya bertukar tampuk kepimpinan.

=EZY=


Pengarang :