SELANGOR

Fokus agenda pembangunan OKU

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 12 JUN: Kerajaan Negeri giat melaksanakan pelan pembangunan yang memfokuskan kepada agenda berkebajikan kepada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) di negeri itu.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, tumpuan kebajikan golongan itu wajar ditingkatkan.

“Setakat pemerhatian saya berkenaan kebajikan golongan OKU ini, masih ada beberapa penaikan taraf yang harus dipandang serius bagi memelihara hak-hak yang digendong melalui undang-undang.

“Antara yang paling jelas adalah hak OKU terhadap akses kepada kemudahan pengangkutan awam.

“Golongan OKU ini merupakan golongan yang istimewa yang perlu diberikan perhatian oleh pihak kerajaan.

“Saya ingin tegaskan Kerajaan Negeri komited menjalankan usaha-usaha menjaga kebajikan dan hak golongan OKU di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Program Iftar Ramadan bersama Insan Istimewa di Hotel Carlton Holiday & Suites, Seksyen 13 Shah Alam, pada 10 Jun lalu.

Program berkenaan dianjurkan Kelab Kecacatan Fizikal Selangor & Selangor Disable Care (KKFS) dengan kerjasama Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor.

Dr Siti Mariah berkata, Kerajaan Negeri konsisten memainkan peranan utama bagi menjayakan aspirasi menjaga kebajikan insan-insan istimewa ini terumata golongan OKU di seluruh Negeri Selangor.

Beliau berkata, ia direalisasikan melalui aspek meningkatkan aksesibiliti OKU agar persekitaran dan kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri mampu menyokong kehidupan golongan OKU.

“Hal ini bertujuan untuk membantu OKU meningkatkan keupayaan dan potensi diri serta dapat berdikari dalam mengharungi kehidupan.

“Selain itu, kerajaan kini juga telah menyediakan perkhidmatan pembiayaan sepenuhnya kepada OKU cacat penglihatan yang perlu mendapatkan White Cane dan Mesin Braille.

“Inisiatif seperti ini akan diteruskan lagi dari masa ke masa dan diharapkan menjelang 2020 matlamat peningkatan kemudahan infrastruktur bagi golongan OKU di Negeri ini akan tercapai,” katanya.


Pengarang :