NASIONAL

FOMCA setuju cadangan guna khidmat tukang masak tempatan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 JUN: Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyokong cadangan Kementerian Sumber Manusia yang mahu menggunakan khidmat tukang masak tempatan.

Timbalan Presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, cadangan itu merupakan tindakan wajar dan mampu menyelesaikan masalah khususnya aspek kebersihan.

“Cadangan yang diambil kementerian itu disokong kerana banyak restoran mengamabil pekerja asing kerana kos.

“Dengan mengambil pekerja tempatan, ia sedikit sebanyak menjamin kebersihan dan mengurangkan kebergantungan pekerja asing,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Yusof berkata, kerajaan perlu memperketatkan faktor penguatkuasaan sekiranya cadangan itu dilaksanakan.

“Penguatkuasaan lebih tegas perlu diambil, selain pengguna turut memainkan peranan kerana kita tahu kekangan kerajaan untuk memantau semua restoran yang ada di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, pihak restoran juga perlu diberi masa dan tempoh sewajarnya untuk mereka bersedia atau melatih pekerja tempatan yang baharu.

Terdahulu, syarat yang dikenakan ke atas pengusaha restoran untuk mengambil hanya tukang masak tempatan hanyalah cadangan, kata Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran.

Bercakap kepada The Star pada Sabtu, beliau berkata pihak kementerian akan bertimbang rasa kepada pengusaha makanan dalam pengambilan tukang masak tempatan.

“Kami akan berhubung dengan beberapa pihak sebelum proses akhir ditentukan,” katanya.

Pada Jumaat, Kulasegaran berkata, semua restoran yang menyediakan makanan Malaysia perlu mengambil tukang masak tempatan sahaja bermula 1 Januari.

Ia mencetuskan kritikan terhadap Kulasegaran di laman sosial.

 


Pengarang :