KLANG 16 JUN: Kehebatan seorang gadis menimbang bola dengan memakai jubah dan berhijab baru-baru ini menarik perhatian netizen dan kini video aksinya menjadi tular di laman sosial Facebook.
Ini mungkin kerana aksinya yang menimbang bola begitu sahaja dengan memakai jubah yang sepatutnya permainan tersebut dimonopoli kaum lelaki. Namun itu tidak menjadi masalah kepada Qhouirunnisa’ Endang Wahyudi,18.
Beliau yang senang disapa Nisa, berkata beliau memuat naik videonya bukan hanya untuk meraih perhatian dengan penampilannya (berhijab) ataupun menambah ‘follower’ tetapi minatnya yang mendalam terhadap sukan tersebut.
Katanya, sebelum ini beliau sering beraksi (menimbang bola) dan menjadi semakin rancak apabila perlawanan bola sepak berprestij di dunia, Piala Dunia FIFA 2018 yang berlangsung semalam di Rusia.
“Wanita berhijab bukan penghalang untuk menceburi mana-mana bidang sukan atau dalam free style football tetap yang menjadi penghalang adalah diri kita sendiri sama ada mahu ataupun tidak,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Tasik Taman Bandar Botani dekat Klang baru-baru ini.
Anak sulung dari tiga beradik ini yang kini melanjutkan pelajaran dalam jurusan Asasi dalam bahasa Arab dan Sains Islamic di Universiti Al-Madinah, Shah Alam berkata beliau meminati dunia bola sepak ketika menemani adik lelakinya yang bermain futsal dua tahun lalu.
Beliau juga menjadikan pengalaman ketika membuat persembahan bersama dua rakannya di Sunway Velocity Mall sebagai titik tolak dalam meningkatkan lagi mutu permainannya.
Katanya lagi, walaupun permulaan ayahnya tidak membenarkannya untuk menceburi dalam dunia bola sepak ini tetapi bila melihat dirinya gigih berlatih, ayah dan ibunya mula memberi dorongan dan sokongan kepadanya.
Kelincahan pemain dari Perancis, Lisa Zimouche memberi sumber inspirasi kepadanya bagi melihat corak permainan dalam sukan itu.
Ketika ditanya harapan terhadap sukan tersebut, beliau berkata biarpun Malaysia masih gagal layak ke kejohanan bola sepak berprestij itu, Malaysia masih boleh berbangga dengan memiliki seorang remaja perempuan yang mampu menggegar dunia menerusi bakatnya dalam menimbang bola.
“Golongan wanita yang berhijab khususnya kini mampu mempelajari apa sahaja sukan yang sering dimonopoli kaum lelaki dan sentiasa berani menyahut cabaran,” katanya.
SUMBER: BERNAMA