NASIONAL

Gobind mahu dua dana SKMM diaudit

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 21 JUN: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan menjalankan audit ke atas dua kumpulan dana yang diuruskan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, dua dana tersebut adalah dana SKMM yang ditubuhkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (Dana USP) yang ditubuhkan mengikut Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Pemberian Perkhidmatan Sejagat) 2002.

“Penyata kewangan SKMM menunjukkan dana SKMM adalah RM800 juta manakala mengikut penyata kewangan dan USP berjumlah RM8.5 billion setakat 31 Disember 2016.

“Audit terhadap dua dana ini adalah untuk mengesahkan jumlah dalam akaun-akaun tersebut dan meningkatkan ketelusan dalam penggunaan dana,” katanya dalam kenyataan.

Gobind berkata, dana SKMM diadakan untuk kewangan SKMM seperti ditetapkan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, manakala dana USP digunakan mengurangkan jurang digital dengan memberi perkhidmatan komunikasi dan akses internet luar bandar dan kawasan perkhidmatan terhad, melalui projek infrastruktur.

“Syarikat-syarikat telekomunikasi (telco) wajib menyumbang sebahagian peratusan daripada perolehan mereka tahun ini kepada Dana ini yang diuruskan oleh SKMM.

“Saya berharap audit berkenaan akan mengutarakan kelemahan sekiranya ada dalam penggunaan kedua dana tersebut, serta masalah dalam proses penganugerahan dan pelaksanaan projek di bawah dana tersebut sehingga hari ini,” katanya.


Pengarang :