SELANGOR

Hanya yang terbaik di Concorde Shah Alam

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 4 JUN: Walaupun Ramadan sudah memasuki hari ke-19, namun orang ramai terus berpusu memilih lokasi berbuka puasa untuk dinikmati bersama keluarga dan rakan.

Seperti tahun sebelumnya, Hotel Concorde Shah Alam meneruskan tradisi hidangan bufet Ramadan yang menawarkan aneka juadah berbuka puasa yang pastinya memikat selera pengunjung.

Memilih tema ‘The Best of Kota Anggerik’, hotel itu menawarkan lebih 100 jenis juadah untuk dinikmati dengan 10 daripadanya sebagai tarikan atau menu wajib.

Antaranya Nasi Kandar Seksyen Sembilan, asam laksa, daging rendang tok, sambal petai pedas manis, ayam kari kapitan, kacang panjang tumis belacan, kambing panggang berempah bawang putih, sup kambing mamak dan sup gear box.

Tidak hanya terhad kepada makanan utama, sajian pencuci mulut seperti apam balik oat rangup, aiskrim Turki, kuih muih dan murtabak serta roti john turut menjadi pertaruhan Hotel Concorde bagi memikat selera pengunjung.

Pengurus Besarnya, Patrick Ng berkata, sup gear box dan bubur lambuk menjadi tarikan utama bufet Ramadan kali ini dengan pihak hotel menempah 400 kilogram gear box.

“Kami menerima banyak panggilan telefon daripada pengunjung tetap seawal Mac lalu yang bertanyakan berkenaan sup gear box yang sering menjadi tarikan di sini,” katanya.

Harga bufet bagi dewasa ialah RM128 seorang, manakala kanak-kanak berusia dari empat hingga 12 tahun ialah RM64 seorang.

Menariknya, bufet itu turut menawarkan harga promosi RM90 bagi dewasa untuk lima hari awal dan tiga hari terakhir Ramadan.

Untuk pertanyaan lanjut, hubungi 03-5520 8000 atau e-mel [email protected]

Terdahulu, pada 3 Mei lalu, Concorde turut mengedarkan 8,000 bekas bubur lambuk yang menjadi acara tahunan mereka, sejak 2004 kepada orang ramai.

 

 


Pengarang :