NASIONAL

Hapus sistem monopoli BERNAS mampu kawal harga beras

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 14 JUN: Pengguna di negara ini akan dapat menikmati harga beras lebih rendah apabila dasar monopoli ke atas pengimportan beras oleh syarikat Padiberas Nasional Bhd (Bernas) dihapuskan.

Menteri Industri dan Asas Tani, Salahuddin Ayub berkata, penamatan monopoli oleh BERNAS dijangka mampu menurunkan dan mengawal harga beras seperti harga pasaran.

Katanya, hal itu akan membentuk pasaran yang lebih terbuka kepada hasil padi dan beras antaranya dengan mewujudkan persaingan sihat syarikat terlibat dalam industri padi dan beras negara.

“Dalam industri padi dan beras negara ini, kita ada pembekalan dan permintaan, jadi bila kita pecahkan monopoli Bernas, akan wujudlah persaingan lebih baik daripada syarikat terlibat bagi penuhi pembekalan dan permintaan itu, seterusnya mampu turun serta kawal harga.

“Bagaimanapun tamatnya monopoli Bernas ini tidak bermakna BERNAS terus dihapuskan, tidak. Bernas masih kekal cuma kita mahu membuka pasaran (padi dan beras) itu kepada umum,” katanya lapor The Malaysian Times.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penerimaan Sumbangan untuk Tabung Harapan bernilai lebih RM1 juta terdiri daripada pelbagai penyumbang di Parlimen Bakri.

Tambah Salahudin, keputusan penamatan monopoli terhadap Bernas juga secara tak langsung dapat memastikan jaminan terhadap keselamatan makanan serta kecukupan beras kepada rakyat.

Pada masa sama, katanya, kementerian kini sedang merangka model bagi industri dan pasaran padi beras negara setelah tiadanya monopoli Bernas, dan memerlukan maklum balas dari pelbagai pihak terutamanya rakyat sendiri.

“Kita akan mendapatkan maklum balas daripada Majlis Penasihat Pertanian Negara, maklum balas dalaman daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan sebuah badan yang akan ditubuhkan terdiri daripada pakar ekonomi, korporat dan pertanian.

“Kemudian Kita akan bandingkan semua maklum balas sebelum mengemukakan kertas cadangan model kepada kerajaan,” katanya.


Pengarang :