NASIONAL

Harga jalur lebar turun 25% hujung tahun

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 JUN: Harga perkhidmatan jalur lebar di Malaysia dijangka turun sekurang-kurangnya 25 peratus, penghujung tahun ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, penurunan harga itu ekoran implementasi Mandatory Standard on Access Pricing (MSAP) sejak 8 Jun lalu.

Katanya, pihak terbabit masih dalam perbincangan penetapan harga borong, ketika ini.

“Saya difahamkan proses ini akan berakhir pada Julai atau Ogos dan seterusnya pakej perkhidmatan jalur lebar, pada harga lebih rendah akan diperkenalkan kepada pengguna.

“Polisi MSAP mengenakan harga siling borong bagi pihak pembekal kemudahan dan perkhidmatan digunakan syarikat telco dalam pasaran.

“Penurunan harga borong bakal mengurangkan harga pasaran untuk pengguna,” katanya dalam kenyataan.

Gobind berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengkaji polisi MSAP selama setahun, pada 2017.

Bagaimanapun, katanya, semakan harga sepatutnya diperkenalkan, pada 1 Januari 2018 tetapi tidak dilaksanakan ekoran rayuan Telekom Malaysia (TM) untuk SKMM mengkaji semula beberapa butir komponen harga.

“Keputusan mengkaji semula harga jalur lebar ditangguhkan sementara menunggu pertimbangan Menteri Komunikasi dan Multimedia, pada masa itu.

“Selepas pelantikan saya sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia baru, saya mengumumkan Pakatan Harapan akan mengambil langkah menurunkan harga jalur lebar serta menambah kelajuan perkhidmatan itu,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan isu akses kepada internet sebagai satu hak asasi asas di Malaysia, dan jika boleh dilaksanakan, sebagai hak perlembagaan.

“Hakikatnya, perkhidmatan jalur lebar adalah pemacu kepada usaha transformasi negara kita kepada ekonomi digital demi memastikan rakyat Malaysia berpeluang menikmati semua faedah yang ditawarkan.

“Di samping itu, saya mengarahkan SKMM untuk pertimbangkan langkah lain yang boleh menurunkan lagi harga jalur lebar.

“Saya juga meminta SKMM untuk memantau harga jalur lebar di Malaysia supaya harga pakej peringkat permulaan munasabah untuk semua rakyat,” katanya.


Pengarang :