EKONOMIGLOBAL

Harga minyak dunia terus susut

SINGAPURA 19 JUN: Harga minyak dunia jatuh hari ini berikutan jangkaan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutu utama Russia akan meningkatkan pengeluaran secara beransur-ansur setelah menahan bekalan sejak 2017.

Selain itu, pertikaian perdagangan di antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang semakin meningkat, apabila kedua-dua pihak mengugut untuk mengenakan tarif pada barangan eksport utama masing-masing, turut menjejaskan pasaran dan mendorong penjualan besar-besaran saham di China.

Indeks saham Shanghai menyusut di bawah 3,000 mata untuk kali pertama dalam hampir 21 bulan.

Niaga hadapan minyak mentah Brent berada pada AS$74.90 setong pada 0241 GMT, turun 44 cents atau 0.6 peratus dari penutupan terakhirnya.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) berada pada AS$65.55 setong, turun 30 cents atau 0.5 peratus.

OPEC bersama-sama dengan sekumpulan bukan OPEC termasuk Russia mula mengurangkan bekalan minyak pada tahun lalu bagi meningkatkan harga komoditi itu.

Berikutan kenaikan mendadak harga minyak dari paras AS$30 setong pada 2016, kumpulan itu pada 22 Jun ini akan bertemu di Vienna, Austria, untuk membincangkan dasar masa depannya.

Ketua Strategi Pasaran AxiTrader, Greg McKenna, berkata kemungkinan akan berlaku turun naik harga minyak pada minggu depan menjelang pertemuan itu.

“OPEC telah goyah atau sedang goyah,” kata McKenna, susulan Iran, Venezuela dan Iraq “berusaha untuk memberikan veto ke atas peningkatan pengeluaran masing-masing”.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :