Selangorkini
EKONOMI GLOBAL

Harga minyak mentah dunia meningkat

SINGAPURA 26 JUN: Harga minyak mentah meningkat hari ini berikutan ketidaktentuan berhubung eksport minyak Libya walaupun rancangan oleh anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) untuk menaikkan jumlah bekalan masih belum diputuskan.

Niaga hadapan Brent, penanda aras antarabangsa bagi harga minyak adalah pada AS$74.95 setong, naik 22 cents atau 0.3 peratus daripada penutup akhirnya.

Niaga hadapan AS West Texas Intermediate (WTI) pula berada pada AS$68.33 setong, naik 25 cents atau 0.4 peratus.

Pedagang berkata harga dipacu oleh ketidaktentuan yang menyelubungi eksport minyak oleh Libya yang juga anggota OPEC.

Komander tentera di Libya Timur, Khalifa Haftar telah menyerahkan kawalan pelabuhan minyak kepada National Oil Corporation yang berpangkalan di timur negara berkenaan.

Syarikat minyak rasmi milik negara itu yang berpangkalan di Tripoli dan juga dikenali sebagai NOC tidak dibenarkan untuk menguruskan minyak berkenaan lagi, katanya.

Ketidaktentuan mengenai eksport minyak Libya muncul selepas OPEC bersama-sama dengan rakan bukan OPEC mengumumkan kenaikan bekalan sebanyak satu juta tong sehari bertujuan untuk menyejukkan pasaran minyak mentah.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :