BERITA UTAMASELANGOR

Harga RM42,000 Rumah Selangorku kekal

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 11 JUN: Kerajaan Negeri tidak berhasrat untuk menaikan kadar harga projek perumahan rumah mampu milik Rumah Selangorku, walaupun berlaku ketidaktentuan milikan harga perumahan di pasaran kini.

Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, kadar rendah itu dikekalkan selaras pelaksanaan dasar berkebajikan diperkenalkan pentadbiran negeri.

Beliau berkata, komitmen itu diteruskan bagi membolehkan golongan B40 memiliki rumah sendiri.

“Dasar ini dikekalkan dan tidak akan berubah sebagaimana ditetapkan di peringkat negeri dari awal pelaksanaan skim ini.

“Kadar RM42,000 itu adalah cukup rendah dan di peringkat Kerajaan Negeri, kita akan terus menggalakkan lebih banyak pemaju dan syarikat perumahan membina Rumah Selangorku,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kadar pasaran perumahan di peringkat Nasional yang dilapor semakin meningkat.

Kata Haniza, Kerajaan Negeri optimis melaksanakan mekanisma terbaik mengukuhkan lagi agenda pembangunan perumahan negeri.

“Kerajaan Negeri menerima banyak permohonan daripada rakyat Selangor yang ingin membeli Rumah Selangorku.

“Atas keperluan ini mendorong untuk kita menyediakan lebih banyak projek perumahan Rumah SelangorKu demi kelangsungan rakyat,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memperkenalkan projek Rumah Selangorku yang dijual pada kadar RM42,000 hingga RM250,000.


Pengarang :