SUKANKINI

Harimau Malaya bertemu Maldives dalam aksi persahabatan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 21 JUN: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan skuad kebangsaan, Harimau Malaya akan menentang Maldives dalam perlawanan persahabatan antarabangsa, di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 3 November ini.

FAM dalam kenyataan berkata, perlawanan persahabatan berstatus A bertemu pasukan di ranking ke-150 dunia itu adalah yang keenam untuk skuad kebangsaan sebelum menyertai Piala Suzuki Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2018.

“Ia sebagai ujian terakhir sebelum skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe terbang ke Phnom Penh bagi aksi sulung Kumpulan A bertemu Kemboja, pada 8 November ini,” katanya.

Sebelum ini, FAM mengesahkan lima perlawanan persahabatan antarabangsa “A” diatur menjelang Piala Suzuki AFF 2018.

Ia bermula dengan perlawanan menentang Fiji di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, pada 5 Julai diikuti melawan Taiwan di Taipei, pada 7 September seterusnya Kemboja di Phnom Penh, pada 10 September ini.

Dua perlawanan lagi ialah bertemu Sri Lanka di Colombo, pada 12 Oktober dan Republik Kyrgyz di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada 16 Oktober.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin sebelumnya berkata, semua perlawanan persahabatan ditempuh Harimau Malaya menjadi medan terbaik untuk Cheng Hoe membentuk skuad mantap serta membaiki kedudukan semasa Malaysia di tangga 171 dunia.


Pengarang :