NASIONAL

Highland Towers: Zuraida umum keputusan esok

OLEH NADIAH ZAMLUS

AMPANG, 25 JUN: Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin akan memaklumkan keputusan berhubung tindakan lanjut terhadap isu pangsapuri tinggalan Highland Towers, di sini.

“Kita akan maklumkan apa keputusan terhadap Highland Towers ketika sidang media mingguan di Putrajaya esok,” katanya kepada SelangorKini.

Sebelum itu penduduk Taman Hillview dilaporkan mahu pangsapuri yang sering dikaitkan dengan unsur mistik berkenaan diruntuhkan segera.

Malah, bangunan yang sudah ditinggalkan hampir 25 tahun itu turut menjadi sarang penagih dadah dan maksiat.

Highland Towers yang mempunyai dua blok kediaman setinggi 12 tingkat dikosongkan selepas tragedi, pada 11 Disember 1993.

Walaupun sudah dipagar dan dikunci, laluan masuk ke pangsapuri itu masih tetap dicerobohi.

Penduduk, Abdul Rashid Hassan, 57, berkata kewujudan dua blok yang terbiar itu bagaikan syurga bagi penagih dadah, penjenayah dan kaki maksiat yang menjadikan pangsapuri berkenaan sebagai tempat persembunyian.

“Kerajaan perlu lakukan sesuatu untuk membersihkan tempat ini kerana penduduk tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku di dalam sana,” katanya.

Pekerja swasta, Fajar Arsyad, 28, berkata usaha pihak berkuasa mengunci kawasan itu gagal menghalang pencerobohan kerana ada yang sanggup meredah kawasan semak untuk masuk ke situ.

“Ketika kebanyakan orang cuba menjauhi lokasi itu kerana sering dikaitkan dengan pelbagai misteri, ada generasi muda memilihnya sebagai tempat penerokaan dan menguji keberanian.

“Cuma, saya rasa jika ada pemantauan dilakukan secara lebih ketat, pencerobohan mungkin dapat dihalang kerana laluan keluar masuk ke perumahan ini ada pengawal,” katanya dipetik Utusan Malaysia.


Pengarang :