SELANGOR

Hijrah Selangor rai pelajar tahfiz buka puasa

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 7 JUN: Seramai 22 pelajar Maahaad Tahfiz Al-Quran Wal Imamah, Klang dirai dalam majlis berbuka puasa, di Kompleks PKNS, Shah Alam, di sini, semalam.

Program anjuran Hijrah Selangor dan usahawan Tempat Orang Lokal (T.O.L) itu bertujuan memberi sumbangan kepada pelajar berkenaan untuk meraikan sambutan Aidilfitri yang bakal tiba.

Pengurus Bahagian Khidmat Professional Hijrah Selangor, Nur Siti Hazliana Mat Hashim berkata, sumbangan terbabit diberikan hasil pemberian usahawan, di situ.

“Terdapat juga inisiatif daripada peniaga di sini yang menyumbangkan beberapa produk mereka seperti tudung dan kasut kepada anak-anak ini.

“Hasil daripada usaha murni ini, sebanyak RM1,270 berjaya dikumpulkan dan disumbangkan kepada pelajar tahfiz,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, ketika ditanya berkenaan program Hijrah Selangor yang membantu usahawan mengembangkan perniagaan mereka, Siti Hazliana berkata, jumlah pinjaman akan ditambah, pada tahun hadapan.

“Sebelum ini kami memberi pinjaman RM50,000 dan pada tahun hadapan, kami akan naikkan jumlah itu,” katanya.


Pengarang :