Selangorkini
NASIONAL

Hospital Tanjong Karang siap menjelang 2020

OLEH NADIAH ZAMLUS

TANJUNG KARANG, 17 JUN: Penduduk Tanjong Karang bakal menerima hospital baru menjelang November 2020, kata Dr Dzulkefly Ahmad.

Menteri Kesihatan itu berkata, hospital berkenaan bakal menjadi ‘hospital pakar minor’ dengan kapasiti 150 katil dan menawarkan sembilan kepakaran.

Katanya, ia termasuk kecemasan, perubatan am, pembedahan am, ortopedik, pediatrik, obstetrik dan ginekologi, anestesiologi dan rawatan kritikal, radiologi dan psikiatri.

“Pembinaan hospital baru ini adalah usaha memastikan rakyat mendapat perkhidmatan penjagaan kesihatan terbaik yang memiliki pakar (perubatan), selain menambah kapasiti katil pesakit.

“Pada waktu ini, hospital lama yang dibina sejak 1966 amat terhad berbanding keperluan perubatan dan kesihatan penduduk di Tanjong Karang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat Hospital Tanjong Karang sempena sambutan Aidilfitri, pada Jumaat lalu.

Hadir sama Pengarah Hospital Tanjong Karang, Dr Mohd Zamri Wagiman.

Pada masa sama, Dzulkefly turut menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 40 pesakit, di hospital berkenaan.

Beliau berkata, lawatan itu juga membuktikan komitmen kementeriannya menyahut seruan kerajaan baharu yang prihatin terhadap kebajikan rakyat dalam memberikan perkhidmatan penjagaan kesihatan terbaik.

“Selain itu, lawatan ini bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim, malah mengeratkan perpaduan tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit,” katanya.


Pengarang :