NASIONAL

“I love you ganti I love PM,” kata Tun M

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 15 JUN: Tiada lagi ungkapan ‘I love PM’ seperti mana slogan yang diperkenalkan era pentadbiran Datuk Seri Najib Razak bagi memberikan gambaran kononnya beliau disayangi rakyat.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tetapi sebaliknya pengunjung rumah terbuka aidilfitri Perdana Menteri hari ini dengan sendirinya mengucapkan “I love you” kepada beliau ketika bersalaman dengannya.

“Semasa bersalaman dengan rakyat tadi ada yang sempat kata ‘I love you’ kepada saya.

“Nampaknya tiada lagi ‘I love PM’ macam dulu tetapi dah diganti ‘I love you’ sekarang,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 50,000 tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana di sini, hari ini.

Mahathir berkata, berbeza dahulu, ungkapan ‘I love PM’ dibuat di atas plakad yang disediakan pihak kerajaan atau jentera parti Barisan Nasional (BN) sendiri sebelum diedarkan kepada orang ramai yang hadir ke majlis dihadiri Najib.

Namun sebaliknya, ucapan ‘I love you’ kepadanya dilontarkan secara spontan tanpa arahan mana-mana pihak.

Terdahulu, di era Najib hadirin pada program dihadiri Najib dikehendaki menayangkan ungkapan ‘I love PM’ (Saya sayang Perdana Menteri) untuk lensa kamera media.

Tindakan itu dibuat bagi membayangkan kononnya Najib mempunyai sokongan rakyat terbanyak.

=EZY=


Pengarang :