NASIONAL

iCGPA tidak lagi wajib di universiti awam

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 21 JUN: Kementerian Pendidikan mengumumkan Purata Nilai Gred Kumulatif Bersepadu (iCGPA) kini tidak lagi wajib dilaksanakan di universiti awam, berkuat kuasa hari ini.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, keputusan itu diambil selepas pihaknya mengadakan sesi perkongsian dan pengkajian semula bersama kakitangan akademik, pensyarah serta pelajar dari beberapa institusi juga badan berkenaan mengenai pelaksaan program terbabit.

“Berdasarkan pengkajian semula itu kita dapati sejak dilaksanakan, tumpuan pensyrah beralih dari tugas utama seperti mengajar, menjalankan kajian, menyelia siswazah dan berkhidmat kepada masyarakat semakin diabaikan kerana usaha pemantauan aktiviti pelajar lebih diutamakan.

“Oleh itu, dalam usaha memberikan kebebasan akademik, saya mengambil keputusan membenarkan pihak universiti memilih sama ada ingin meneruskan atau memberhentikan program terbabit bermula hari ini,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Katanya, jika pihak universiti ingin meneruskan program itu, mereka perlu mencapai keputusan konsensus bersama ahli akademik masing-masing.

Maszlee berkata, jika ingin menghentikan iCGPA, kementerian mencadangkan dana lebihan daripada program berkenaan sedia disalurkan ke perpustakaan universiti masing-masing.

“Hal ini akan dapat menambah lebih banyak buku dan jurnal antarabangsa yang lebih bermutu serta berkualiti tinggi dalam membantu pelajar juga pensyarah membuat kajian dan penulisan mereka.

“Keputusan ini juga akan dapat memberi ruang kepada pensyarah untuk kembali menumpukan usaha dan peranan tugas hakiki mereka.

“Selaras dengan itu, pensyarah tidak lagi dibenarkan untuk dipertanggungjawabkan mencari sumber kewangan seperti diarahkan sebelum ini kerana ia bertentangan dari tugas mereka,” katanya.


Pengarang :