SUKANKINI

Imran, Lauren sertai kanak-kanak 210 negara ke F4F Rusia

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 9 JUN: Peserta muda negara, Imran Zakaria dan Lauren Hoh, yang terpilih ke Projek Sosial Kanak-Kanak Antarabangsa ‘Football For Friendship’ Gazprom (F4F) 2018 di Moscow, Rusia, akan menyertai kanak-kanak dari lebih 210 negara dari seluruh dunia dalam program berkenaan.

Jurucakap F4F berkata, Imran, 16, dan Lauren, 12, terpilih ke program itu dengan masing-masing diberikan tangungjawab tertentu bagi menjayakan program dari 8 hingga 15 Jun sempena Kejohanan Bolasepak Piala Dunia 2018 Rusia.

“Imran akan berperanan sebagai jurulatih muda yang menjadi sebahagian daripada 32 Pasukan Persahabatan Antarabangsa (ITF) dengan melatih pemain muda pasukan ‘Grevy’s Zebra’ dalam Kejohanan Antarabangsa Persahabatan Gazprom (FIC) di Rusia serta menyertai bengkel dikendali selebriti terkenal.

“Lauren pula bertindak sebagai wartawan muda melapurkan semua aktiviti tempatan dan global program sebagai sebahagian daripada Pusat Media Kanak-kanak Antarabangsa yang mana ia bertindak sebagai hub mengumpulkan maklumat, membuat laporan, menulis artikel berita dan menyediakan bahan program,” katanya.

Katanya, mereka berdua turut menyertai Forum Bolasepak Persahabatan Kanak-Kanak Antarabangsa Keenam yang memberi peluang anak muda bergaul dengan rakan mereka dari negara lain, berkongsi pengalaman dan berbincang dengan pemain bola sepak serta wartawan terkenal mengenai nilai utama program F4F di seluruh dunia.

“Semua duta muda negara itu juga akan mengambil bahagian dalam program Nine Values School di mana mereka akan diajar sembilan nilai utama F4F iaitu persahabatan, persamaan, keadilan, kesihatan, keamanan, ketaatan, kemenangan, tradisi dan kehormatan di bawah bimbingan jurulatih muda dan penyeliaan pemain terkenal,” katanya.

Memasuki edisi keenam dan ini adalah kali pertama Malaysia dijemput bagi menghantar wakil ke program F4F itu.

Menariknya, Imran dan Lauren berpeluang terbabit dalam upacara perasmian Piala Dunia 2018 dan menyaksikan perlawanan sulung antara Russia dan Arab Saudi di Stadium Luzhniki, 14 Jun ini.

Kejohanan bola sepak Piala Dunia 2018 di Rusia dijadual berlangsung bermula 14 Jun hingga 15 Julai.


Pengarang :