SELANGOR

Istana tepis dakwaan pelantikan Amirudin tidak mendapat restu

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 20 JUN: Istana Selangor menepis dakwaan kononnya pelantikan Amirudin Shari sebagai Dato’ Menteri Besar baharu tidak mendapat restu sama sekali tidak benar.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah perkenan pelantikan Amirudin Shari selaku Dato’ Menteri Besar Selangor dengan mengikuti segala peruntukan di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959.

Berdasarkan kenyataan di laman Facebook Selangor Royal Office, ia adalah berdasarkan amalan yang biasa dilakukan dalam pelantikan seorang menteri besar di negeri itu.

Dalam kenyataan itu, Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menghantar surat dengan mencalonkan tiga orang Anggota Dewan Negeri (ADN) Selangor untuk mendapat perkenan baginda sebagai calon Dato’ Menteri Besar, pada 7 Jun lalu.

Malah, dalam surat itu Dr Wan Azizah turut memohon perkenan baginda bagi menerima mengadap calon yang layak mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor bagi tujuan mengangkat sumpah sebagai Dato’ Menteri Besar.

Namun, kenyataan itu berkata, surat bertarikh 7 Jun oleh Dr Wan Azizah secara tidak langsung membatalkan surat terdahulu yang ditulis oleh ketua parti politik Selangor kepada baginda.

Selepas diteliti kesemua calon dan mendapat pandangan daripada Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, maka baginda berkenan dengan pelantikan Amirudin yang juga ADN Sungai Tua.

Kenyataan itu turut menegaskan, baginda mempunyai kuasa budi bicara dalam pelantikan seorang menteri besar.

Kuasa itu diperuntukkan sepertimana Artikel 51 dan Artikel 53, Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Malah, baginda sentiasa mengambil maklum pra syarat di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor, pelantikan hendaklah daripada kalangan ADN, mendapat kepercayaan majoriti Dewan Negeri dan syarat kedua, hendaklah berketurunan Melayu serta beragama Islam.

Terdahulu, ADN Ijok, Dr Idris Ahmad mempersoalkan pelantikan Amirudin malah beliau juga pernah tidak menyokong untuk melantik Mohamed Azmin selaku Dato’ Menteri Besar pada 11 Mei lalu yang dikatakan tidak mendapat restu daripada PAKATAN.

Kenyataan itu berkata, pelantikan Mohamed Azmin bersandarkan tugas dan tanggungjawab beliau dengan penuh dedikasi serta membawa PAKATAN memenangi kerusi yang lebih besar semasa pilihan raya lalu.

Oleh itu, adalah tidak bertepatan untuk Dr Idris mengatakan bahawa beliau dicalonkan untuk memegang jawatan Dato’ Menteri Besar baharu.

Pihak Istana Selangor sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang dan ‘convention’ di dalam apa tindakan dan tidak sama sekali campur tangan dalam isu berkaitan politik.

 


Pengarang :