SELANGOR

Isu restu: Amirudin serah pada pimpinan tertinggi PAKATAN

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 19 JUN: Desas-desus mengatakan pelantikan Amirudin Shari selaku Dato’ Menteri Besar Selangor yang baharu tidak mendapat restu hangat diperkatakan umum.

Bagaimanapun, Amirudin berkata, beliau menyerahkan isu itu kepada kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PAKATAN) untuk menjawab segala persoalan mengenai pelantikannya yang dikatakan tidak mendapat restu parti berkenaan.

“Saya rasa baik serahkan sahaja isu ini kepada pucuk pimpinan tertinggi PAKATAN terutamanya dari Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) untuk merungkai persoalan serta menjelaskan hal berkenaan,” katanya pada sidang media majlis jamuan makan tengah hari di kediaman Exco Kerajaan Negeri, di sini, hari ini.

Terdahulu, selain Amirudin, Ahli Dewan Negeri (ADN) Ijok, Dr Idris Ahmad juga dikatakan turut tercalon untuk memegang jawatan Dato’ Menteri Besar Selangor.

Ia berikutan selepas penyandang asalnya, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali diserap masuk ke kabinet sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Namun, atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Amirudin terpilih menjawat jawatan berkenaan.

Bagaimanapun, mengulas mengenai sama ada akan berlakunya krisis dalam KEADILAN, Amirudin berkata, kini bukan masanya untuk bermain politik sebaliknya masing-masing perlu bekerja keras dan menumpukan pada tugas sendiri.

“Saya percaya kita mampu bekerja dengan lebih baik demi memenuhi mandat, keperluan dan harapan rakyat,” katanya.

=EZY=


Pengarang :