NASIONAL

Isu RM300 juta: Azmin minta penyebar fitnah lapor pihak berkuasa

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 24 JUN: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan dakwaan membabitkan dana RM300 juta yang dikaitkan dengannya adalah fitnah dan tidak berasas.

Justeru kata Ahli Parlimen Gombak itu, pihak yang didakwa mempunyai bukti kukuh terhadap dakwaan tidak benar itu diminta tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa.

“Ia tuduhan palsu, dan kita tidak harus melayani fitnah. Siapa yang buat tuduhan, sila buat laporan kepada pihak berkuasa.

“Sekiranya mana-mana individu yakin dan mempunyai bukti, sila tampil kepada pihak berkuasa supaya siasatan boleh dilakukan,” katanya kepada pemberita.

Kata Mohamed Azmin, beliau juga terbuka untuk disiasat sebagaimana amalan keterbukaan yang dipertahankannya sebelum ini.

Beliau diminta mengulas laporan blogger pro Umno yang mengeluarkan kenyataan tanpa bukti mengaitkan Mohamed Azmin kononnya mempunyai banyak akaun dari luar negara.

=EZY=

 


Pengarang :