AGAMASELANGOR

Jalankan Program Tadarus Al-Quran setiap bulan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 12 JUN: Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud mencadangkan supaya program tadarus Al-Quran diadakan setiap bulan, bukan sahaja pada Ramadan.

Katanya, program tersebut boleh dianjurkan jawatankuasa masjid mahupun sekolah bagi mendekatkan masyarakat Islam dengan Al-Quran.

“Al-Quran adalah makanan jiwa, selain bertadarus, saya juga berhasrat supaya kelas tadabbur Al-Quran boleh dianjurkan sama.

“Kita lihat ramai yang membaca Al-Quran namun tidak mempraktikkannya dalam kehidupan seharian kerana tidak memahami apa isi kandungan dan maksudnya, sekiranya ada kelas tadabbur saya yakin masyarakat kita akan bertambah baik kerana mereka faham dengan Al-Quran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Khatam Al-Quran Perdana dan Diskusi Muslimat Selangor di Masjid Seksyen 7 di sini pagi tadi.

Program anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu turut dihadiri 1,000 peserta termasuk penjawat awam Selangor, hadir sama penceramah terkenal, Datuk Dr Norhafizah Musa dan Prof Madya Dr Sharifah Norhayaati Syed Ismail Al-Qudsy.

Dalam masa yang sama, Siti Mariah mahu golongan wanita mendalami ilmu agama dengan sebaiknya bagi membentuk keluarga bahagia.

“Ini penting kerana masalah sosial adalah isu yang sangat ditakuti pada waktu ini, jadi apabila wanita mengukuhkan agamanya, maka dia akan mendidik keluarga termasuk anaknya dengan lebih baik,” katanya.


Pengarang :