SASTERA

Jamban

Oleh Roslan Jomel

 Haris terhumban ke gaung bukit. Dia bangkit semula menghidupkan enjin kereta.

Haris memarkir kereta di depan kafe. Langit mendung menyambutnya pada awal pagi. Sejurus sahaja keluar, Haris membetulkan cermin sisi kereta Datsun buruknya. Misai dan janggut dicukur licin. Wajah berserabut kini tampil kemas. Akhbar tabloid terkepit di ketiaknya. Dalaman kereta berbau sisa sabun pencuci. Itu sudah cukup menenteramkan hatinya yang ditinggal isteri secara mengejut. Kesakitan di betis kanan akibat tertusuk selumbar sepanjang pensel 2B seminggu lalu beransur-ansur menghilang. Mengapa tiba-tiba dia terdorong mengasah mata cangkul yang berkarat?

Suatu malam Haris berada puncak sebuah bukit. Dia membongkok kelelahan. Sebatang cangkul tergenggam di tangan kanan. Siapa dua lelaki berkot mahal tertiarap dalam lubang berisi najis? Haris menyedari tubuhnya dipalit tanah kuning dengan wajah dicomoti darah kering. Apa aku lakukan di sini? Di bawah sinaran cahaya bulan, Haris berputar-putar dalam hutan berkabus sebelum terguling di lereng bukit. Apabila terjaga, atas katil bertaburan daun-daun dan ranting pokok. Haris ke bilik air membersihkan diri. Pili di singki mengalir kotoran busuk. Haris menganggap itu sekadar jaringan halusinasi.

Hari ini dia menyarung baju putih bercetak huruf X. Seluar jean Levis hitam terpakai dibeli secara dalam talian. Dalam kafe, Haris mencenung sekeliling. Hanya dia pelanggan di situ. Tarikh tertera pada kalendar tergantung di belakang kaunter mengingatkannya. Hari ini pilihan raya umum. Haris mencebik bibir hitamnya. Tidak mahu terus ditipu sandiwara demokrasi. Dia melaksanakan tanggungjawab  sebelum kempen politik ditamatkan. Tanpa pengetahuan semua orang, Haris telah menghapuskan syaitan-syaitan terhormat sembahan manusia. Tertimbus dalam lubang najis. Tugas mematikan syaitan rumit. Apatah lagi yang memiliki segudang duit. Haris  tidak sanggup lagi menonton lakonan mereka di TV dari abad ke abad.

Sebelum memandu kembali ke bandar, Haris memastikan segala-galanya kelihatan bersih. Kelakuannya harus normal. Dia bukan manusia kesepian seperti Travis dalam Taxi Driver. Lubang dicangkul dua minggu lepas sedalam paras kepala dikambus dengan rapi. Dua lelaki dari dua parti politik terbesar negara ditanam hidup-hidup. Betapa letihnya menggali lubang dalam hutan berpermukaan keras. Haris mencangkul di beberapa kawasan di puncak bukit. Usaha penggaliannya terhalang oleh bongkah batu besar. Cangkulnya patah, dia tentu meraung histeria. Mengapa tidak sahaja dibakar kedua-dua lelaki itu? Biar rentung sampai jadi abu.

Sekurang-kurangnya lebih sepuluh kawasan dicangkul. Sia-sia jika memecah bongkah batu dengan sebatang cangkul. Tidak wajar meninggalkan begitu sahaja tawanannya dalam keadaan berikat dalam hutan. Sejarah membuktikan dua lelaki berkuasa seperti mereka pasti terlepas. Entah magis apa meloloskan mereka di muka bumi. Itulah  membingungkan Haris. Kedua-dua lelaki keparat itu perlu dikebumikan hidup-hidup. Menghumban kedua-dua pemimpin parti politik ke dalam lubang tidak semudah dibayangkan. Malahan Haris diumpan pelbagai janji manis. Wang, gelaran, aktres muda, sebutkan sahaja. Dasar politikus.

Sepasang syaitan berusia seratus tahun itu seperti ingin kekal hidup selama-lamanya. Haris menanggalkan selubung muka. Kedua-duanya mengalir air mata palsu. Minta dibebaskan. Kononnya demi kesejahteraan rakyat dan negara. Begitukah kesedihan dua penyamun elit depan warga marhaen? Itulah wajah kerap terpampang megah di media. Haris tersengih mengejek. Lalu bagaimana caranya Haris memadam rekod pemerintahan dua lelaki kelahiran kayangan itu? Dia berbelah-bahagi. Seksa perlahan-lahan atau matikan segera? Apakah tindakannya bertamadun? Semakin Haris merenung dua lelaki bertalam seribu muka depannya, berbaur rasa simpati dan dendam. Peluang di tangannya. Kalau tidak, apa tujuan mengasah mata cangkul?

Tiada pusingan kembali. Sekuat tenaga Haris menghentak kepala dua tawanan dengan cangkul. Sehingga terbelah tempurung kepala dua-dua lelaki tua itu. Haris menolak kedua-duanya ke lubang galian seperti buah nangka busuk. Permukaan tanah diratakan. Haris menabur daun-daun kering dan ranting pokok. Agar natural. Di bawah sebatang pokok, Haris menyandar keletihan sambil menyalakan rokok. Dua mayat VVIP terbenam dalam lubang bersama-sama najis dilepaskannya. Najis perlu disalurkan ke takungan pelupusan najis. Selesai terlaksana misi besarnya, Haris berada di puncak tertinggi dunia. Kejayaan agung peradaban pascamoden beralatkan sebatang cangkul.

Sambil meneguk kopi Americano, dia yakin tiada sesiapa mengesan jenayah di puncak bukit. Jauh terasing daripada jangkauan mafia pembangunan, projek-projek MRT, kondominium, kasino atau hotel. Jabatan forensik  polis ada tugasan penting lain. Keputusan pilihan raya diumumkan. Rakyat mahukan kebebasan mutlak. Negara kini bebas tanpa diktator. Semua parti dibubarkan dan tiada kerajaan. Utopia. Tetapi itu khayalan Haris. Sepanjang jalan raya tadi, pelbagai poster dan bendera parti-parti dinaikkan. Selang lima tahun negara dihujani wang. Pesta janji bermula lagi. Haris berasa ada sesuatu yang perlu dibereskannya.

Haris meneliti akhbar tabloid. Tiada kes kematian berprofil tinggi dilaporkan. Dahi Haris berkerut tidak percaya. Kenyataan lebih pahit daripada rasa kopi. Haris kembali ke keretanya. Termenung depan stereng dilitupi simpang-siur emosi. Cermin dalam kereta menyerlahkan keserabutan wajahnya. Misai dan janggut tidak terurus. Selumbar yang terbenam di betis kanan terasa berdenyut-denyut. Dia memecut kereta ke pinggir bandar sebelum hujan turun. Dari tempat duduk, kedengaran bunyi kelentang-kelentung sebatang cangkul dalam bonet. Dia akan menggali lubang di puncak bukit. Lebih dalam dan besar. Di tempat duduk belakang, Haris membayangkan dua lelaki bersalut najis diheret ke dasar neraka.

Haris menuju ke lereng bukit. Dia menuruni gaung tempat keretanya terbabas.


Pengarang :