SELANGOR

Jangan jual tapak bazar Ramadan, Aidilfitri

OLEH NADIAH ZAMLUS

KLANG, 11 JUN: Peniaga dinasihatkan supaya tidak menjual tapak perniagaan kepada orang lain, tegas Yang Dipertua (YDP), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Dato’ Mohamad Yasid Bidin.

Katanya, tindakan tersebut dianggap tidak wajar memandangkan peniaga cuba mengambil kesempatan terhadap orang lain.

“Agak sukar untuk ‘menangkap’ peniaga sebegini kerana kita tidak mempunyai bukti, apabila membuat pemeriksaan, peniaga ini akan beri alasan mereka hanya membantu kawan, jadi ia agak sukar untuk dikesan.

“Paling tidak wajar apabila ia diberi kepada peniaga asing yang sepatutnya tidak berlaku,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat MPK, pagi tadi.

Sebelum itu terdapat aduan terdapat peniaga yang menjual tapak bazar di Jalan Taiping, Klang dengan harga sehingga mencecah RM14,000.

Yasid berkata, kesemua peniaga di situ berjaya memperoleh tapak perniagaan setelah menang dalam sistem bidaan yang dikendalikan MPK.

“Harga bidaan dibuka bermula RM3,500 dan bidaan tertinggi diperolehi ialah sebanyak RM8,288, panel bidaan MPK dikendalikan oleh Pengarah Perlesenan MPK dan juga ahli majlis.

“Dakwaan kononnya pemilihan tapak di Jalan Taiping berdasarkan kroni dan sebagainya adalah tuduhan jahat,” katanya.


Pengarang :