SELANGOR

Jangan selesa, MB ingatkan ‘kuasa rakyat’

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 25 JUN: Amirudin Shari mengingatkan pimpinan Kerajaan Negeri supaya terus bekerja kuat, selepas diberi mandat dan kepercayaan daripada rakyat.

Dato’ Menteri Besar itu berkata, pimpinan negeri tidak boleh terlalu selesa, sebaliknya perlu giat membangunkan ekonomi negeri demi manfaat berterusan rakyat Selangor.

“Kemenangan besar diraih disusuli harapan besar rakyat yang sangat tinggi untuk kita memastikan rakyat Selangor terus mendapat pembelaan.

“Rakyat sudah berani membuat perubahan dengan menukar kerajaan yang sudah bertapak lebih 60 tahun dan jika kita gagal mengurus negeri dengan baik, tidak mustahil kita boleh dihukum rakyat.

“Ini bukan dakwaan semata-mata tetapi peringatan untuk saya selaku Dato’ Menteri Besar baharu dan rakan pimpinan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pertemuan bersama masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan, baru-baru ini.

Amirudin berkata, tumpuan Kerajaan Negeri kini untuk terus bekerja kuat dan memimpin kejayaan negeri berkebajikan itu.

“Saya memberi jaminan kepada rakyat semua pimpinan negeri, ahli majlis dan pemimpin akar umbi, inilah masanya untuk kita melunaskan janji.

“Sekarang adalah masa untuk bekerja dan mengekalkan ketelusan yang ada kerana prinsip ketelusan inilah yang membolehkan kita memperoleh sokongan berterusan rakyat,” katanya.

 


Pengarang :