Selangorkini
SELANGOR

Jawatan Ahli Majlis semua PBT ditamatkan 30 Jun ini

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 22 JUN: Semua ahli majlis yang memegang jawatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor akan ditamatkan serta merta pada 30 Jun ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, semua jawatan itu juga tidak akan dilanjutkan, ia berikutan terdapat khabar angin tempoh jawatan tersebut akan dilewatkan sehingga Disember akan datang.

Katanya, pilihanraya untuk memilih ahli majlis yang baru akan berlangsung pada Ogos tidak lama lagi.

“Semua parti dalam Pakatan Harapan (PAKATAN) perlu mengemukakan nama calon ahli majlis mereka dalam minggu ini berikutan mesyurat eksekutif majlis akan dijalankan pada hujung Jun.

“Dijangkakan ahli majlis yang baru akan mula menjalankan tugas masing-masing pada Julai 2018,” katanya dalam kenyataan.

Sze Han berkata, pihaknya menggalakkan supaya semua pucuk kepimpinan parti termasuk KEADILAN, AMANAH, BERSATU dan DAP mencalonkan lebih banyak wakil daripada badan bukan kerajaan (NGO) juga wanita.

“Kita berharap supaya bilangan ahli majlis wanita mencapai sasaran sehingga 30 peratus secara keseluruhannya.

“Bagaimanapun, Kerajaan Negeri berhak menolak nama calon yang dirasakan tidak bersesuaian dan pada masa ini pengisytiharan aset tidak terpakai ketika memilih ahli majlis tempatan,” katanya.


Pengarang :