SELANGOR

Jenazah jurukamera Media Selangor dikebumi di Gemencheh

OLEH NURUL FARINA NAZLAN

GEMENCHEH, 26 JUN: Jenazah jurukamera Media Selangor, Khairuddin Jamaluddin, yang meninggal dunia malam tadi, selamat dikebumikan kira-kira jam 2.15 petang, di kampung halaman mertuanya di Felda Bukit Rokan Utara, Gemencheh, Negeri Sembilan.

Balu Allahyarham, Suraya Musa berkata, jenazah suaminya dibawa ke kediaman ibu bapa beliau, kira-kira jam 1.30 pagi, dari Hospital Serdang.

“Kami mengiringi jenazah dari Hospital Serdang dan tiba di sini, sekitar jam 3.20 pagi,” katanya.

Terdahulu, Khairuddin , 51, yang bertugas di Media Selangor, meninggal dunia akibat pendarahan dalam perut, di Hospital Serdang, kira-kira jam 11.20 malam tadi.

Beliau meninggalkan seorang balu dan dua anak lelaki berusia tiga tahun dan lima bulan serta anak tiri berumur 10 tahun.

Lebih 20 rakan sekerja di Media Selangor diketuai Ketua Pegawai Eksekutif, Eddie Ahmad Khodzali, menziarahi jenazah Allahyarham kira-kira jam 1.00 petang, di Masjid Felda Bukit Rokan Utara, di sini, sebelum disolatkan, kira-kira jam 1.35 petang.

Seluruh warga kerja Media Selangor mengucapkan takziah kepada pihak keluarga dan didoakan semoga arwah ditempatkan di kalangan para anbia dan solehin.

=EZY=


Pengarang :