dav
BERITA UTAMASELANGOR

Jepun taja RM2.8 juta geran laksana program atasi bencana

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 30 JUN: Jepun menaja RM2.8 juta geran bagi melaksanakan program mengatasi bencana dalam kalangan komuniti di negara ini dengan menjadikan Selangor selaku negeri perintis.

Program dinamakan “Strengthening the Disaster Risk Reduction Capacity to Improve the Safety and Security of Communities by Understanding Disaster Risk” (SeDAR) itu diadakan di Hotel Concorde, di sini, semalam.

Pegawai Operasi Unit Pengurusan Bencana Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir berkata, program sebegini bagus dilaksanakan kerana ia sekali gus dapat mendidik komuniti untuk sentiasa bersiap sedia menghadapi bencana.

“Selangor dipilih sebagai perintis melaksanakan program itu adalah kerana negeri ini merupakan satu-satunya yang mempunyai unit pengurusan bencana tersendiri.

“Malah, Selangor juga menjadi pilihan Jepun sendiri untuk dijadikan selaku perintis dalam melaksanakan program ini,” katanya kepada pemberita.

Selain itu, Muhammad Izzat berkata, program sebegini amat bagus dilaksanakan memandangkan Jepun merupakan antara negeri yang bersih, maju dan bijak menangani bencana yang melanda mereka.

“Pada program itu nanti, Jepun akan berkongsi ilmu pengetahuan mereka kepada komuniti di negeri ini dan dengan itu kita beroleh manfaat untuk diterapkan di negara sendiri,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai daerah yang akan terpilih untuk diserap masuk dalam program itu adalah kawasan yang mempunyai bencana skala besar.

“Setakat ini, daerah yang kita rancang untuk melaksanakan program ini adalah di Klang yang seringkali berlaku banjir dan Hulu Klang selalu terjadinya tanah runtuh,” katanya.

=EZY=


Pengarang :