SELANGOR

Jualan Harapan Rakyat dapat sambutan

OLEH NADIAH ZAMLUS

AMPANG, 12 JUN: Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya, Haniza Talha terkejut apabila mendapati Jualan Harapan Rakyat mendapat sambutan orang ramai.

Katanya, hal itu terbukti apabila tapak jualan mula dipenuhi orang ramai sejak jam 7 pagi.

“Barang keperluan yang dijual pada program ini ditawarkan dengan harga lebih rendah dan sememangnya dapat membantu penduduk, terutama golongan berpendapatan rendah mendapatkan makanan berkualiti dengan harga berpatutan.

“Program ini juga memberi peluang kepada golongan kurang berkemampuan mendapatkan makanan berzat, terutama buat anak mereka,” katanya ketika Program Jualan Harapan Rakyat, di Pasar Besar Bandar Baru Ampang.

Pada jualan berkenaan, orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan pelbagai barangan basah seperti ikan, ayam dan daging dengan harga lebih rendah, berbanding harga pasaran.

Program itu dianjurkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).

Selain di Ampang, jualan berkenaan turut dilaksanakan di beberapa tempat iaitu di Putrajaya, Kajang dan Sepang.


Pengarang :