GLOBAL

Jumlah kematian gempa bumi Osaka terus meningkat

TOKYO 19 JUN: Jumlah kematian akibat gempa bumi yang menggegarkan Osaka semalam meningkat kepada empat manakala lebih 380 lagi disahkan tercedera.

Kematian terbaru itu membabitkan seorang wanita tua berusia 81 tahun, yang terbunuh apabila terperangkap di bawah runtuhan almari di rumahnya.

Mangsa lain yang terbunuh sebelum ini ialah seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun, selepas terperangkap dalam runtuhan tembok di sekolahnya susulan gempa berukuran 6.1 itu.

Dua lagi mangsa ialah lelaki, masing-masing berusia 80 dan 84 tahun yang maut akibat ditimpa runtuhan tembok dan almari buku.

Jurucakap kanan kerajaan, Yoshihide Suga memberitahu wartawan, empat kematian telah disahkan setakat ini dan 381 lagi mengalami kecederaan namun tidak tidak dipastikan tahap kecederaan semua mangsa terbabit.

“Kerajaan akan meneruskan usaha menyelamatkan orang ramai,” katanya sambil menambah, tiada laporan kehilangan mana-mana individu diterima setakat ini.

Katanya, kerajaan juga akan mengambil langkah segera bagi memulihkan semula bekalan gas dan air bersih yang terputus sejak gempa, semalam.

Agensi meteorologi Jepun memberi amaran, hujan lebat yang dijangka turun di Osaka hari ini dan esok boleh meningkatkan risiko berlakunya tanah runtuh.

SUMBER: AFP


Pengarang :