SELANGOR

Kali pertama lihat ‘bumbung terbang’

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 23 JUN: Sudah 50 tahun Rohani Ahmad menetap di perumahan Kampung Dato’ Mufti Shuib.

Namun sepanjang tempoh itu, Rohani, 60 tidak pernah melalui pengalaman mencemaskan apabila bumbung rumahnya diterbangkan angin kuat dalam kejadian hujan lebat, lewat petang semalam.

Menceritakan detik cemas itu, Rohani berkata, angin kuat dan faktor hujan lebat sejak Aidilfitri lalu mengakibatkan banyak bahagian rumahnya rosak dan dimasuki air.

Lebih buruk, bahagian bumbung di bilik utamanya bocor apabila ada serpihan bumbung kediaman jiran diterbangkan angin kuat dan menghempap permukaan bumbung kediamannya.

“Ini kali pertama kejadian begini berlaku. Sejak kampung ini dibuka, tak pernah lagi hujan lebat sampai boleh rosak rumah kami.

“Waktu kejadian, cuma ada saya dan cucu di rumah. Namun, kami bersyukur tiada kejadian buruk tidak diingini berlaku.

“Walaupun rumah rosak, sekurang-kurangnya kami masih selamat,” katanya kepada SelangorKini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya, Haniza Talha pantas turun padang meninjau beberapa perumahan dan melihat sendiri keadaan mangsa yang terjejas dalam kejadian itu.

Beliau turut menyerahkan bantuan daripada pusat khidmat beliau dan menyerahkan borang bantuan zakat untuk tindakan selanjutnya.

Rohani berkata, inisiatif dan gerak kerja pantas wakil rakyat itu membantu mangsa wajar dipuji.

Baginya, bantuan berkenaan boleh dimanfaatkan untuk tujuan pembaikan bumbung rumah keluarganya itu.

“Terima kasih kepada wakil rakyat Yang Berhormat Haniza Talha dan Kerajaan Negeri Selangor,” katanya.

=EZY=


Pengarang :