SELANGOR

Karnival MATTA di Selangor Julai depan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 2 JUN: Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Selangor akan memperkenalkan Karnival MATTA (MATTA Fair) di Selangor bermula Julai depan.

Pengerusi MATTA Selangor, Datuk Syed Abdul Rahman Al Habshi berkata, ia adalah pertama kali karnival seumpama itu diadakan di Selangor selepas menyaksikan kejayaannya di Kuala Lumpur.

Katanya, terdapat 40 agensi pelancongan serta organisasi pelancongan negeri akan menyertai acara yang diadakan selama tiga hari berturut-turut di Taman Pameran Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang ini.

“MATTA Selangor akan mempromosikan pelbagai tarikan pelancongan di Selangor termasuk negeri-negeri lain dalam Malaysia,” katanya dalam sidang media di MAEPS, Serdang.

Beliau berkata, beberapa syarikat penerbangan termasuk Malaysia Airlines (MAS), Firefly, Air France, Turkish Airlines dan Thai Airways akan menawarkan pakej menarik ke pelbagai destinasi.

Katanya, MAEPS dilihat sebagai lokasi strategik memandangkan kedudukannya mudah diakses oleh pengunjung dari Lembah Klang, sekitar Selangor dan Negeri Sembilan melalui perkhidmatan stesen Komuter Serdang KTM dan ERL Stesen Putrajaya.

“Matta Fair Selangor adalah medium utama bagi mempromosikan pelancongan negeri, selaras dengan matlamatnya untuk meningkatkan ketibaan pelancong domestik dan dari luar negara.

“Selangor mempunyai banyak anugerah alam yang tidak ‘disedari’ oleh rakyatnya, sedangkan ia menjadi daya penarik pelancong asing dari negara luar terutamanya Eropah dan Jepun untuk berkunjung ke tempat menarik di Selangor,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman facebook MATTA Selangor atau instagram @matta_selangor.


Pengarang :