BERITA UTAMASELANGOR

KDEBWM diiktiraf ‘Malaysia Smart Waste Solutions Company of the Year’

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 27 JUN: KDEB Waste Management (KDEBWM) menerima anugerah dan diiktiraf sebagai ‘Malaysia Smart Waste Solutions Company of the Year’ bagi 2018.

Anugerah itu disampaikan oleh Frost dan Sullivan yang merupakan firma perunding perniagaan terlibat dalam penyelidikan serta analisis pasaran, perundingan strategi juga latihan korporat.

Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir berkata, beliau tidak pernah menjangka menerima anugerah itu memandangkan syarikatnya masih baru sahaja bertapak.

Namun, katanya, anugerah itu merupakan mandat besar buat KDEBWM untuk bekerja lebih gigih dalam menguruskan urusan sisa pepejal.

“Apa yang dilakukan kami di Selangor adalah tanggungjawab besar dalam memastikan negeri ini bersih serta bebas daripada masalah sampah.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri terutamanya mantan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang pada ketika itu memberi kepercayaan terhadap KDEBWM untuk menguruskan urusan sisa pepejal dan sisa awam di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Anugerah ‘2018 Frost & Sullivan Malaysia Excellence Award’ yang diadakan di Hotel Hilton, di sini, semalam.

Ramli berkata, anugerah yang diterima itu juga merupakan dokongan dan sokongan daripada pihak lembaga pengarah serta bahagian pengurusan KDEBWM.

“Saya mempunyai pasukan kerja yang sentiasa menjalinkan kerjasama erat dan bekerja siang malam demi menguruskan sampah di Selangor bagi memastikan negeri ini bersih.

“Anugerah yang diterima ini bukan hanya untuk KDEBWM tetapi untuk semua rakyat di Selangor khususnya,” katanya.

=EZY=


Pengarang :