SELANGOR

KDEBWM rancang laksana kitar semula

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 27 JUN: Syarikat milik penuh Kerajaan Negeri, KDEB Waste Management (KDEBWM) merancang melaksanakan aktiviti kitar semula selain melakukan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

Perancangan itu dinyatakan oleh Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir selepas syarikat itu dianugerahi ‘Malaysia Smart Waste Solutions Company of the Year’ bagi 2018 oleh Frost dan Sullivan.

Ramli berkata, dalam jangka masa enam bulan beliau mendapat mandat daripada Lembaga Pengarah untuk memulakan perkara baharu yang lebih daripada kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam.

“Seperti saya selalu kata sampah tidak kotor tetapi ia adalah duit oleh itu kita sedang dalam perancangan mahu melakukan aktiviti kitar semula di negeri ini.

“Kita akan membuat pelaburan baharu, yang memudahkan kerja kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam demi memastikan Selangor sentiasa bersih,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Anugerah ‘2018 Frost & Sullivan Malaysia Excellence Award’ yang diadakan di Hotel Hilton, di sini, semalam.

Terdahulu, syarikat itu terus komited memastikan Selangor mencapai status negeri terbersih, di Malaysia.

Sebelum ini, KDEBWM mengambil alih sisa pepejal dan pembersihan awam di Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).

Tujuh PBT lain pula akan diambil alih hujung tahun ini secara berperingkat iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dan Majlis Perbandaran Kajang.

Ia termasuk Majlis Daerah Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor.

=EZY=


Pengarang :