BERITA UTAMASELANGOR

Keberangkatan Sultan Selangor beri makna besar buat Amirudin

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 24 JUN: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyifatkan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin ke Majlis Rumah Terbuka Sempena Sambutan Eidul Fitr Peringkat Negeri memberi makna yang besar kepada beliau.

Amirudin berkata, hal ini berikutan beliau baru sahaja dilantik sebagai Dato’ Menteri Besar menggantikan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pada 19 Jun lalu.

“Patik bersama keluarga besar pentadbiran Negeri Selangor amat terharu di atas perkenan Tuanku untuk berangkat mencemar Duli buat kali keempat berturut-turut ke Majlis Rumah Terbuka Sempena Sambutan Eidul Fitr anjuran Kerajaan Negeri.

“Keberangkatan Tuanku berdua ke Majlis Sambutan Rumah Terbuka Eidul Fitr hari ini amat besar maknanya buat diri patik yang baharu sahaja mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk melantik patik sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyembah ucapan kepada baginda pada majlis yang diadakan di Dataran Kemerdekaan di sini, hari ini.

Amiruddin berkata, beliau bagi pihak Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat Selangor menjunjung kasih dan merafak sembah di atas perkenan baginda dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor berangkat mencemar Duli ke majlis penuh meriah itu.

Terdahulu, keberangkatan baginda berdua disambut oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah; Amirudin; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan beberapa kenamaan lain dengan diiringi paluan rebana.

Baginda berdua turut mengambil kesempatan beramah mesra sambil bersalaman dengan rakyat jelata di majlis itu.

=EZY=


Pengarang :