NASIONAL

Kematian akibat virus Nipah palsu

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 20 JUN: Jabatan Kesihatan Selangor menafikan penularan mesej berlaku kematian ekoran jangkitan virus Nipah yang dikaitkan dengan bungkusan makanan daun pisang.

Pengarahnya, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, pihaknya menjalankan siasatan berhubung mesej yang tersebar luas itu dan mendapati ia tidak benar.

“Berdasarkan pemantauan notifikasi diterima, tiada kes atau kematian diterima Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri dan Kementerian Kesihatan Malaysia membabitkan penyakit atau kejadian keracunan makanan yang disyaki daripada penggunaan daun pisang atau kes disyaki menghidap jangkitan virus Nipah,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, beliau menyarankan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan berita atau mesej yang belum tentu kesahihannya.

“Orang ramai juga diminta tidak menyebarkan berita tidak tepat tanpa mendapatkan pengesahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia terlebih dahulu,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial mendakwa seorang wanita mengalami sesak nafas dan meninggal dunia selepas memakan nasi dibungkus menggunakan daun pisang yang disyaki mempunyai virus Nipah, di Rawang, baru-baru ini.


Pengarang :