SELANGOR

Kempen Selamat Balik Kampung, MBSA edar 745 topi keledar

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 JUN: Sebanyak 500 unit topi keledar dewasa dan 100 unit topi keledar kanak-kanak diberikan secara percuma kepada orang ramai oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, kempen dilaksanakan sejak 2011 ini merupakan komitmen berterusan MBSA memberi kesedaran dalam kalangan pengguna motosikal dan mempertingkatkan keselamatan jalan raya.

“Melalui kempen ini, topi keledar diedarkan kepada orang ramai dengan menggunakan konsep pertukaran topi keledar lama yang tidak menepati spesifikasi keselamatan kepada topi keledar baru mengikut spesifikasi keselamatan oleh SIRIM.

“Sebagai tambahan, MBSA juga turut memberikan secara percuma 85 unit topi keledar kanak-kanak dan 60 topi keledar dewasa.

“Ia sumbangan daripada SIRIM QAS International Sdn. Bhd,” katanya dalam kenyataan.

Kempen Selamat Balik Kampung 2018 yang turut mendapat kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya Selangor dan Polis Diraja Malaysia itu berlangsung di Jalan Opera AU2, TTDI Jaya Seksyen U2, Shah Alam.

Majlis penyerahan topi keledar itu disempurnakan oleh Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Hadir sama, Pengarah Besar Kanan, Jabatan Pensijilan dan Pemeriksaan SIRIM QAS International Sdn. Bhd, Basori Selamat.


Pengarang :