NASIONAL

Kerajaan akan nilai semula kedudukan ATM di Arab Saudi

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 20 JUN: Kerajaan melalui Kementerian Pertahanan akan menilai semula keputusan kerajaan terdahulu yang menempatkan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di Arab Saudi.

Menterinya, Mohamad Sabu berkata, kehadiran ATM di Arab Saudi secara tidak langsung menyebabkan Malaysia terperangkap dengan konflik di Timur Tengah.

“Kerajaan akan menilai semula kedudukan ATM di Arab Saudi yang bertujuan siapsiaga untuk evakuasi rakyat Malaysia, di Yaman.

“Malaysia sama sekali tidak pernah terbabit dalam operasi menyerang Yaman yang juga sebuah negara Islam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, Malaysia adalah negara yang mengamalkan dasar berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana ideologi politik kuasa besar dunia.

Beliau berkata, negara juga terbabit secara aktif dalam Pergerakan Negara berkecuali (NAM) dan pernah mempengerusikannya.

“Justeru, kerajaan akan membuat keputusan dalam masa terdekat berkenaan perkara itu selepas penilaian semula selesai dijalankan,” katanya.

Terdahulu, kerajaan menempatkan ATM di Arab Saudi bagi membawa pulang rakyat Malaysia dari Yemen yang sedang berhadapan konflik.


Pengarang :