NASIONAL

Kerajaan cari jalan kurangkan kos MRT2

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 22 JUN: Kerajaan dalam usaha mencari jalan mengurangkan kos bagi projek Aliran Transit Massa 2 (MRT2) selepas membatalkan seketika jajaran ketiga projek itu.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif MRTCorp, Datuk Seri Shahril Mokhtar selepas pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) hari ini.

Pertemuan itu bertujuan membincangkan langkah serta tindakan yang perlu diambil bagi mengurangkan kos MRT2 yang dianggarkan RM32 bilion.

“(Jajaran 3) dibatalkan buat masa sekarang. Kami berbincang bagaimana mencari jalan untuk mengurangkan lagi kos terutamanya Jajaran 2.

“Kami sedang berusaha sehabis baik kurangkan kos untuk jimatkan duit rakyat,” katanya lapor Bernama.

Shahril bagaimanapun tidak menyatakan angka khusus sasaran pengurangan kos tersebut.

Difahamkan, Jajaran MRT2 membabitkan sejauh 52.2 km iaitu 13.5km adalah laluan bawah tanah dengan mempunyai 37 stesen.

Pada masa sama beliau juga mengulangi bahawa projek MRT3 masih ditangguh buat masa ini.

Pada 31 Mei lalu, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Projek MRT3 yang masih dalam tahap perancangan dibatalkan kerana menelan kos tinggi antara RM40 bilion sehingga RM 45 bilion.


Pengarang :