AGAMABERITA UTAMAPENDIDIKANSELANGOR

Kerajaan Negeri sumbang RM30,000 bagi Projek Auditorium Wakaf Abqori

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KAJANG, 30 JUN: Kerajaan Negeri menyumbangkan RM30,000 kepada Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang (SMAPK) bagi menyempurnakan lagi pembinaan Projek Auditorium Wakaf Abqori.

Perancangan pembinaan auditorium bermula pada 2015 dengan menubuhkan Tabung Waqaf Smart Kajang yang dikelola Persatuan Amanah dan Waqaf Smart Kajang untuk menjadi pemangkin projek tersebut dengan tujuan mencapai pendidikan menuju alaf ke 21 bagi generasi akan datang.

Melalui sistem waqaf, persatuan tersebut berjaya mengumpul sebanyak RM250,000 sehingga 2018 namun kos keseluruhan melibatkan sejumlah RM500,000.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau menyokong usaha Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMAPK untuk mewujudkan auditorium itu bagi kemudahan pelajar.

“Setelah saya mendengar taklimat objektif Projek Auditorium Wakaf Aboori di SMAP Kajang, maka saya berbesar hati menyumbangkan RM 30,000 bagi pembinaannya.

“Semoga dengan sumbangan ini dapat memberi manfaat kepada warga SMAPK dalam menuntut ilmu dan melahirkan generasi ummah yang mencintai ilmu pengetahuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam merasmikan majlis penutup Festival Kesenian Islam (FKI) Sekolah Berasrama Penuh ke 2 Peringkat Kebangsaan 2018 di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, di sini hari ini.

Pada masa sama, Amirudin berkata, FKI berjaya menarik sebanyak 24 sekolah berasrama penuh dari seluruh Malaysia dengan penyertaan seramai 108 peserta.

“Program ini bermanfaat dalam mencungkil bakat baru dalam kesenian Islam disamping ia antara usaha murni bagi mempromosikan kesenian berunsur Islamik kepada masyarakat hari ini.

“Melalui program ini, ramai bakat-bakat baru yang dilihat boleh digilap ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Difahamkan FYI yang dianjurkan SMAPK mempertandingkan tiga kategori melibatkan Nasyid, Syarahan dan Tulisan Khat bermula 29 hingga 30 Jun.

=EZY=


Pengarang :