SELANGOR

Kerajaan PAKATAN larang amalan beri hadiah

OLEH NADIAH ZAMLUS

PUTRAJAYA, 8 JUN: Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) melarang amalan pemberian hadiah kepada pucuk pimpinan mereka sejak memegang tampuk kepimpinan negara.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia sebagai usaha menangani rasuah dan ketirisan dalam perkhidmatan awam.

“Sesiapa nak bagi hadiah kepada saya, saya tidak akan terima tapi boleh bagi bunga, makanan, buah tapi tidak lebih daripada itu.

“Kita tolak semua termasuk kereta, kita tolak, dan ini juga bagi pegawai tinggi kerajaan, kesalahan bukan sahaja pada penerima tetapi juga pada pemberi hadiah,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai keutuhan pengurusan kerajaan di sini, hari ini.

Sebelum ini isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali turut memaklumkan enggan menerima sebarang hadiah daripada orang ramai.

Kenyataannya pada 24 Mei itu dibuat oleh anaknya, Datin Paduka Marina Mahathir.

Bagaimanapun, beliau meminta orang ramai yang berhasrat berbuat demikian supaya menyumbang kepada rumah anak yatim.


Pengarang :