NASIONAL

Kerajaan pandang serius masalah penyakit mental

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 JUN: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memandang serius dengan masalah penyakit mental di negara ini yang kurang mendapat perhatian.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, masalah terbabit perlu diketengahkan dan perlu diatasi segera.

“Masalah ini perlu diketengahkan serta diberi perhatian yang serius, jangan hanya apabila berlaku sesuatu tragedi sehingga mengorbankan nyawa termasuk kanak-kanak, baharu kita nak bertindak.

“Kita perlu mengatasinya daripada peringkat akar umbi lagi dan beberapa kementerian termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Perumahan perlu bekerjasama kerana persekitaran juga menjadi penyumbang kepada masalah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kes seorang ibu yang mengelar leher anak bongsunya berusia 19 bulan di FELDA Jengka 13, Maran minggu lalu dipercayai berpunca daripada masalah kemurungan.

Pada masa sama, Wan Azizah berkata berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bilangan kes penganiayaan dan penderaan kanak-kanak di negara ini dilaporkan meningkat hampir setiap tahun.

Katanya, terdapat 4,453 kes bagi tahun 2015 dan jumlah itu meningkat sebanyak 529 kes kepada 4,982 kes pada tahun 2016 manakala sebanyak 5,422 kes dilaporkan pada tahun lalu.

“Penganiayaan dan penderaan kanak-kanak perlu dilihat sebagai pelanggaran hak kanak-kanak dan menjadi tanggungjawab semua untuk membendungnya daripada terus berlaku demi kepentingan dan keselamatan mereka pada setiap masa,” katanya.

=EZY=

 


Pengarang :