BERITA UTAMASELANGOR

Kerjasama erat Persekutuan dan Negeri bawa Selangor lebih maju

OLEH NADIAH ZAMLUS

PUTRAJAYA, 19 JUN: Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata hubungan baik serta kerjasama erat diantara Kerajaan Negeri dan Persekutuan akan lebih memudahkan perjalanan urus tadbir sekaligus lebih memajukan Selangor.

Katanya ia berikutan Kerajaan Persekutuan senada dengan pentadbiran Kerajaan Selangor kini sejak Pakatan Harapan (Pakatan) menerajui Putrajaya.

“Saya telahpun mengadakan pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan berbincang mengenai hala tuju serta pergerakan kerja yang akan dilakukan antara Persekutuan dan juga Negeri.

“Pertemuan ini penting memandangkan Selangor adalah penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, sudah tentu fokus saya adalah untuk mengekalkan kecemerlangan Selangor yang membuat sumbangan besar terhadap Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Wan Azizah di pejabat Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya, hadir sama Exco Kerajaan Selangor termasuk Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, Haniza Talha, Rodziah Ismail dan Hee Loy Sian.

Pertemuan yang berlangsung selama satu jam diantara Amirudin dan juga Wan Azizah yang juga Presiden KEADILAN itu adalah pertama kali selepas beliau dilantik sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor.

Amirudin berkata, beliau mengucapkan terima kasih atas cadangan namanya yang dikemukakan sebagai calon Dato’ Menteri Besar Selangor sebelum ini.

“Terima kasih kepada Presiden KEADILAN yang yakin dengan saya, juga telah menyelesaikan pemberian nama Rodziah Ismail sebagai exco baru mengantikan portfolio saya sebelum ini.

“Tanggungjawab ini adalah besar buat saya dan sudah tentunya mandat untuk rakyat paling penting untuk dilaksanakan segera,” katanya.

=EZY=

 


Pengarang :